Wednesday, September 22, 2010

Diari Aidilfitri 1431H : Episod 5 - Trip to Penang



Seperti biasa selepas cuti panjang sekolah, saya akan menghantar anak saya, Aizat, balek ke asrama di MRSM Kepala Batas. Walaupun beliau dikehendaki balik pada hari Ahad, kami bertolak pada hari Sabtu supaya saya tidak perlu pergi dan balik pada hari yang sama. Dah tua-tua ni rasa tak berapa larat nak drive for too long without sufficient rest.

Saya menggunakan masa yang ada untuk menziarah kawan-kawan yang tinggal di perjalanan kami. Rumah pertama yang saya singgah ialah rumah Major(B) Jamil Mohd Nor. Beliau adalah kawan sekolah semasa saya di Melaka High School pada tahun 70an dulu. Sudah beberapa kali saya cuba singgah dirumah beliau sebelum ini tetapi tidak berkesempatan kerana jadual kami yang tidak selari. Kali ini saya berjaya. Rumah Jamil terletak di pinggir pekan Batu Gajah. Beliau yang bersara dari perkhidmatan tentera pada tahun 2006 kini menjadi pengurus Pusat Giatmara.

Telah agak lama juga saya tidak berjumpa Jamil walaupun kami sesekali ada berkomunikasi di blog saya atau melalui telefon. Jamil adalah seorang sporstman semasa di sekolah. Pelari jarak dekat yang disegani dan pemain ragbi yang digeruni. Ciri-ciri sportsman didalam diri beliau masih terserlah, badan yang cukup fit and slim. Walaupun saya dan Jamil cuma sempat bersama di sekolah selama 4 tahun kerana beliau telah berpindah ke Royal Military College (RMC) selepas LCE, kami mempunyai beberapa "defining moments" yang kami tidak lupa seperti menonton wayang cheap matinee dan cerita Hindustan bersama. Selepas makan mee yang disediakan oleh isteri Jamil kami berangkat ke Ipoh untuk kerumah sepupu isteri saya di Jelapang. Malangnya beliau tidak ada di rumah.


Kami terus ke Kepala Batas dan check-in di Seri Malaysia. Selepas itu kami bertolak ke Pulau Pinang menaiki feri. Kami makan malam di Nasi Kandar Line Clear atas permintaan Aizat. Selepas makan, saya ke rumah Prof. Madya Dr Rahman Othman dan isteri di Minden Heights. Pasangan ini adalah junior saya semasa di universiti dulu. Pertama kali kami menziarah mereka. Kedua-dua mereka bekerja di USM.

Keesokannya kami telah ke Sungai Petani untuk menziarah sahabat isteri saya, Seripah, semasa di ITM dulu. Beliau kini adalah pengusaha stesen minyak Petronas berdekatan dengan Cinta Sayang Golf Resort.

Sebelum saya menghantar Aizat balik ke asrama kami singgah makan tengahari di ikan bakar Kepala Batas. Dah lama saya nak ke tempat ini tetapi tak tahu lokasi sebenar. Cuma selepas Dr Rahman memberitahu baru saya jumpa restoran yang terletak tidak jauh dari pekan Kepala Batas di Jalan Perseketuan "P1" menghala ke selatan. Makanannya boleh tahan, tetapi kedai tersebut cuma buka di waktu siang.


Selepas makan kami terus menghantar Aizat balik ke asrama dan memulakan perjalanan balik ke KL pada pukul 3:00 petang. Alhamdullillah jalan tidak sesak dan kami sampai di kawasan rehat Sungai Buloh pada waktu maghrib. We reached home just in time to see Manchester United beat Liverpool 3-2 with Berbatov scoring a hattrick. All in all a productive weekend.

Tuesday, September 21, 2010

Diari Aidilfitri 1431H : Episod 4 - Warga Emas


Selain anak-anak, orang yang semesti kita raikan pada Hari Raya ialah orang-orang tua kita. Saya tidak lagi mempunyai ibu, ayah, ibu mertua atau pun ayah mertua. Tetapi saya merasa amat bersyukur kerana mempunyai ibu tiri dan ibu mertua tiri yang sangat mengambil berat tentang kami adik beradik. Walau pun perkataan ibu tiri sering kali membawa konotasi yang kurang menyenangkan, kami amat bertuah kerana mendapat ibu tiri yang langsung tidak seperti yang digambarkan oleh cerita-cerita lama.

Sebenarnya, entri kali ini bukan berkenaan ibu tiri tetapi tentang warga emas yang kami lawati pada hari raya yang lalu. Ini termasuk, ibu dan bapa saudara, kawan-kawan dan sebagainya. Setiap tahun akan berkuranglah golongan ini. Walaupun sebenarnya golongan warga emas akan bertambah, bilamana saya sendiri akan menjadi warga emas.

Satu-satunya insan yang berpangkat Datok dan Nenek yang saya masih ada ialah Tok Mat dan Neksu Temah. Neksu Temah ialah emak saudara kepada arwah ibu saya. Pasangan ini harus menjangkau 90 tahun umur mereka. Mereka tinggal berdua di rumah mereka yang tidak berapa jauh dari rumah kami di kampong. Alhamdullillah mereka masih boleh bergerak dengan sendiri walaupun dengan perlahan. Peringatan mereka juga masih baik, masih dapat bercerita tentang arwah ibu saya. Cuma pendengaran mereka agak kurang.

Beberapa ayah dan ibu saudara saya juga tidak berapa sihat pada kali ini. Kalau lah saya sudah tidak lagi bekerja, mungkin saya dapat menziarah mereka dengan lebih kerap, tetapi mungkin juga tidak. Saya melihat beberapa orang saudara saya yang telah bersara masih tidak berpeluang meluangkan masa untuk menziarah saudara mara.

Diantara yang sempat kami lawati, Busu Lijah dan suami Busu Jalil yang tidak berapa sihat (sering masuk hospital beberapa bulan kebelakangan ini), Pak Long Baharom dan Maklong, Pak Ngah Bujang yang memang tidak sihat kerana tidak lalu makan, Pak Ngah Amat dan Mak Ngah.

Beberapa kawan lama saya yang telah boleh dikategorikan sebagai warga emas juga sempat saya lawati seprti Hj Dollah, Capt. Mazlan dan Abang Lias Keramat.


Disebelah isteri saya pula, kami sempat melawat adik-adik arwah bapa mertua saya yang masih ada (Anjang dan Cik) dan juga isteri kepada sahabat baik arwah di Keramat.


Masih ramai lagi yang tidak sempat saya ziarahi. Apa yang saya bimbang ialah saya tidak diberi kesempatan oleh Allah swt untuk bertemu mereka di Hari Raya tahun hadapan.

Saturday, September 18, 2010

Diari Aidilfitri 1431H : Episod 3 - Anak-anak dan anak buah



Lazimnya Hari Raya disambut meriah oleh anak-anak. Walaupun anak-anak dan kebanyakan anak-anak buah saya saya semuanya sudah remaja, sambutan hari raya tetap meriah kerana adanya mereka.



Saya merasa amat bertuah kerana mempunyai anak buah yang ramai dan jumlah ini sentiasa bertambah dari masa kemasa. Tambahan pula hubungan kekeluargaan antara mereka amat mesra sejak mereka kecil lagi. Ini membuat setiap perjumpaan keluarga seperti sambutan hari raya menjadi begitu meriah dan bermakna.




Saya amat berharap tradisi keluarga saya yang menggalakkan interaksi dikalangan anak saudara saya dapat diteruskan sehingga mereka dewasa, malah dipanjangkan pula dikalangan anak-anak mereka pada masa depan.


Wednesday, September 15, 2010

Diari Aidilfitri 1431H - Episod 2 di KL



Rumah pertama kami ziarah di KL ialah rumah arwah bapa mertua saya di Petaling Jaya. Emak mertua (tiri) berasal dari Terengganu dan memang terkenal dengan nasi dagangnya. Biasanya beliau akan membuat nasi dagang pada hari raya pertama. Tetapi memandangkan keluarga saya dan keluarga kakak ipar dari Serkam cuma tiba pada hari raya ketiga beliau telah membuat nasi dagang sekali lagi pada hari raya ketiga, khas untuk kami. Saya sampai pada pukul 11:00 pagi, memang sesuai untuk makan tengahari dengan nasi dagang.

Selepas itu kami terus ke Shah Alam, ke rumah kakak ipar saya yang sulung. Oleh kerana dah makan nasi dagang dengan banyak, saya cuma minum air di Shah Alam sebelum kami ke rumah adik isteri saya di Bukit Jelutong. Disini kami sempat bertemu dengan beberapa adik beradik isteri saya yang lain. Disini pun saya tidak makan banyak walau pun antara hidangan ialah beriyani kambing.



Disebelah petang kami ke Cheras, melawat dua emak saudara isteri saya (disebelah ayah beliau) yang masih hidup.Sebelum kembali kerumah kami menziarah sepupu isteri saya yang juga di Cheras.

Pada sebelah malam kami kerumah seorang lagi sepupu beliau, kali ini di Shah Alam. Saya seronok bertemu suami kepada sepupu isteri saya yang ini kerana senang bercerita dengan beliau yang pernah bekerja dengan Kontena Nasional pada satu masa dulu.


Pada keesokan harinya kami ke Banting. Selalunya kami akan melawat rumah emak saudara isteri saya berhampiran pekan Banting. Pada tahun ini, rumah tersebut telah dirobohkan untuk pembangunan yang masih belum terlaksana. Terasa amat terkilan dengan keadaan rumah tersebut. Cuma ada dua rumah di Banting kini, rumah Mak Uda, yang kini di huni oleh anak beliau dan rumah seorang sepupu di Kancong. Cerita di kedua-dua rumah tersebut berkisar kepada pembunuhan kejam Datuk Sosilawati yang mana saspek utama adalah peguam dari Banting.

Kami makan tengahari di pekan Banting.

Sekembali dari Banting kami singgah di rumah Abang Long (sepupu paling tua) di Kg Kuantan Kelang. Sebelum balik saya sempat menziarah sahabat lama saya (yang pernah kerja bersama saya di MISC Coastal) bila saya mula bekerja di awal tahun 80an dulu. HJ. Abdullah Md. Yatim, berasal dari Melaka dan agak rapat dengan saya semasa bekerja dulu. Beliau tidak dapat berjalan berpunca dari "slip disc" tetapi beliau kelihatan ceria dan redho atas ketentuan Allah swt.

Keesokan harinya kami ke Kelang sekali lagi, melawat seorang supupu isteri saya yang akan pergi menunaikan ibadat haji tahun ini. Beliau yang telah kematian suami beberapa tahun lalu nampaknya telah dapat meneruskan hidup dengan baik setelah anak-anak mula bekerja.

Selepas itu kami menziarah seorang lagi sahabat saya dari zaman saya di MISC, Capt. Mazlan. Beliau yang berasal dari Kuala Pilah beristerikan Tariyah yang berasal dari Pulau Lumut, juga pernah bekerja dengan MISC. Capt. Mazlan diserang angin ahmar beberapa tahun lalu dan masih belum dapat berjalan walaupun telah puas berikhtiar mencari rawatan dengan berbagai cara.

Selepas solat zohor kami kembali kerumah kerana kakak ipar saya ingin singgah dirumah.

Monday, September 13, 2010

Diari Aidilfitri 1431 H - Episod 1



1 Syawal 1431 H kali ini jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010 Masehi. Kami sekeluarga berangkat pulang ke kampong pada malam hari raya, sekitar pukul 10:00 malam, setelah singgah dirumah arwah bapa mertua di Petaling Jaya. Kami selamat sampai di kampong pada hampir pukul 12:00 tengah malam. Alhamdullillah, perjalanan lancar walaupun kenderaan di jalan banyak. Oleh sebab lambat sampai, saya tidak sempat bertemu dengan rakan-rakan sekolah rendah dan menengah seperti tahun-tahun lalu.

Solat sunat Aidilfitri dilakukan di perkarangan Kompleks PAS Jasin atau lebih dikenali sebagai HAMAS. Cuaca redup menambah rasa sayu keadaan dipagi syawal. Ketika solat bermula hujan rintik mulai turun tetapi tidak menjadi lebat. Khutbah disampaikan oleh Imam pada hari tersebut, Ust. Faizol (rasanya) yang, seperti biasa, cukup berkesan. Walaupun ia menjurus kearah perjuangan kepartian ia juga bersikap universal yang patutnya mesti diakui oleh seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

Oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan kami tidak menunggu lama setelah selesai solat dan terus menziarah pusara arwah Ayah, Ibu, Ahmadon dan Makcik Jamilah (yang kembali kerahmah Allah pada 17 Julai 2010).

Sekembali kerumah, upacara bermaafan dimulakan. Pada tahun ini terasa kekurangan ahli keluarga kami. Hafsah sekeluarga beraya di Kedah, Hamzah sekeluarga belum tiba dan Habibah sekeluarga masih di rumah mertua. Oleh kerana ketiga-ketiga keluarga ini menyumbang ahli yang ramai (setiap satu lebih 10 orang ahli) maka keadaan terasa lengang. Azizah dan Junaidi pun menyambut raya pertama di Bukit Badong.



Oleh kerana hari raya pertama jatuh pada hari Jumaat, kami tidak beraya di waktu pagi untuk persediaan solat Jumaat. Saya sekeluarga pergi menziarah rumah arwah Makcik Jamilah. Ketiadaan makcik memang dirasai walau pun tidak seorang menyebut perkara tersebut ketika kami disana.

Selesai solat Jumaat, kami mulai menziarah rumah-rumah "wajib", Pak Ali, Busu Lijah, Tok Busu Temah dan Paklong Baharom. Itu saja yang kami dapat sebelum hari malam. Pada sebelah malam saya melawat rumah Mak Nunggal. Banyak yang kami bercerita tentang kisah lama. Saya teringin duduk lama dengan beliau untuk bertanya sejarah keluarga saya dari beliau. Tetapi beliau pun semacam telah mula lupa banyak perkara.


Sebelum tidor, isteri saya mengadu sakit perut. Kami tidak ada membawa sebarang ubat pun. Pada pukul 3:00 pagi isteri saya membangunkan saya kerana tidak tahan sakit perut. Saya terus ke Jasin untuk mencari klinik yang buka 24 jam tetapi tidak berjumpa. Akhirnya kami pergi ke Hospital Jasin. Ramai juga orang yang datang mendapat rawatan pada pagi tersebut. Setelah diperiksa oleh Pembantu Perubatan (doktor cuma datang setelah kami mendapat ubat), kami pun balik.

Pagi esoknya isteri saya terus mengadu sakit perut. Saya dan keluarga telah ke Serkam untuk kerumah kakak ipar untuk mendapat pendapat dari beliau. Rupanya kakak ipar saya pun mengalami sakit perut. Jadi saya telah membawa kedua-dua mereka ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan setalah kakak ipar saya memastikan rakan beliau bertugas di hospital ketika itu. Setelah mendapat ubat yang sesuai barulah sakit isteri saya berkurangan. Kami semuanya berehat di Serkam. Pada sebelah petang saya menziarah Pak Ngah di Pernu sebelum kembali ke Jasin.

Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur pada pagi hari Ahad (hari raya ketiga). Tidak banyak rumah yang sempat kami ziarahi pada tahun ini. Saya juga tidak sempat bertemu dengan kawan-kawan sekolah rendah seperti yang telah saya rancang. Walau apa pun saya bersyukur kerana dapat bertemu dengan adik beradik dan juga bapa dan emak saudara yang semakin berumur.

Thursday, September 09, 2010

Akhir Ramadhan 1431 H

Malam semalam saya sempat melakukan solat sunat tarawikh dan solat sunat witir di masjid kariah saya, Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya. Kedua-dua solat diimamkan oleh Imam jemputan dari Masjid Bukit Damansara. Imam muda yang cukup sedap bacaannya. Beliau membaca doa yang panjang ketika qunut dalam solat witir, ala Imam Mekah. Ketika itu saya menitiskan air mata walaupun tidak mengerti makna doa yang dibacakan.

Sebenarnya kesedihan saya bukan sangat sebab doa yang dibaca, walau pun ia telah memberi satu latar belakang yang mengharukan, tetapi mengenangkan tentang berakhirnya Ramadhan dan bersamanya solat tarawikh kali ini. Terfikir oleh saya, masihkah Tuhan memberi saya peluang untuk bertemu Ramadhan akan datang? Jika pun bertemu, masihkah Tuhan memberi nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa untuk mengerjakan ibadat ini? Betapa ramai umat Islam yang berpeluang berada dalam bulan Ramadhan tetapi tidak berpeluang melakukan ibadat didalamnya.

Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat melakukan sedikit sebanyak ibadat dalam bulan Ramadhan kali ini walaupun tidak mencapai tahap yang dirancang. Sekurang-kurangnya solat tarawikh kali ini tidak perlu dilakukan secara bersaorangan, sentiasa berjemaah, majoritinya di masjid Nurul Yaqin , dua kali di masjid berhampiran pejabat dan sekali di masjid Sungai Petani, sekali di pejabat bersama rakan sepejabat. Saya bersyukur dapat mengurangkan aktiviti berbuka di luar seperti di hotel dan sebagainya.


Aktiviti sempena Ramadhan di masjid Nurul Yaqin tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kalau di tahun-tahun yang lalu sekitar 120 orang akan berbuka di masjid kami, kali ini purata 180 orang akan hadir. Beberapa kali angka tersebut melepasi 200 orang menyebabkan makanan tidak mencukupi. Ahli kariah yang datang bersahur pada 10 malam terakhir juga bertambah. Purata 70-80 orang akan bersahur di masjid. Solat tarawikh pun mendapat sambutan baik. Seperti lazimnya majoriti jemaah akan mengikut sunah Nabi dengan mengerjakan solat tarawikh sebanyak lapan rakaat. Tetapi jumlah yang bersolat 20 rakaat juga bertambah berbanding tahun-tahun lepas. Jumlah jemaah yang bersolat tarawikh di penghujung bulan Ramadhan juga meningkat. Alhamdullillah.


AJK masjid berasa amat bersyukur atas sambutan yang diberi oleh ahli kariah. Sumbangan dari ahli kariah untuk aktiviti Ramadhan mencecah RM73 ribu. Walaupun nampak banyak, ia sebenarnya cukup-cukup untuk menampong semua kos berkaitan. Majoritinya ialah untuk kos makanan berbuka.

Beberapa malam yang lepas telah diadakan majlis khatam al-Quran untuk bacaan oleh Imam dalam solat tarawikh dan juga bacaan oleh kumpulan ahli kariah Muslim. Seperti biasa kariah Muslimat telah khatam lebih awal.


Malam semalam juga diadakan majlis penyampaian wang saguhati kepada Remaja masjid yang telah membantu dalam penyediaan makanan untuk berbuka dan morey termasuk mengemas ruang legar masjid.


Alhamdullillah semuanya berjalan dengan lancar.

Dalam beberapa jam lagi Ramdhan 1431H akan meninggalkan kita. Semoga Allah swt menerima ibadat yang telah kita lakukan. Semoga kita dapat bertemu pula dengan Ramadhan 1432H, InsyaAllah.