Sunday, May 06, 2012

Nek Busu Temah



Sabtu, 5 Mei 2012, pada pukul 11:11 malam saya menerima sms dari sepupu saya, Redzuan Abd Jalil, seperti berikut: 
"Sallam. Nek Busu Temah telah meninggal sebentar tadi."
Nek Busu Temah ialah nenek (sebelah arwah emak) yang terakhir saya.  Beliau adalah emak saudara arwah emak saya. Walaupun saya cuma sempat rapat dengan beliau setelah saya dewasa, beliau mempunyai ciri-ciri "orang tua" yang sangat menyenangkan saya. Saya cuba berjumpa beliau setiap hari raya dan tanpa gagal beliau akan menceritakan kisah-kisah lama kepada saya.  Sekarang tiada lagi tempat untuk saya mendapat cerita-cerita sebegini. Agak malang kerana saya tidak merekodkan cerita-cerita tersebut.

Al-Fatihah buat Nek Busu Temah. Semoga Allah memaafkan semua kesalahan beliau dan menempatkan roh beliau bersama roh mereka yang soleh.

Tuesday, May 01, 2012

BERSIH THREE POINT ZERO

Pada hari Sabtu, 28 April 2012 berlangsung lah perhimpunan Bersih 3.0 seperti yang dirancang.  Sebagai satu projek, saya kira ia berjaya kerana tempoh perancangan dan perlaksanan untuk satu program yang sebesar itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang agak pendek. Malah terlalu pendek.

Pada awalnya memang saya ingin turut serta kerana tidak berkesempatan mengikuti versi 1 dan 2 dulu. Saya teringin mengimbas kembali nostalgia berhimpun ketika era Reformasi di akhir tahun 90an dulu. Terasa seronoknya pengalaman itu. Saya bukan peminat fanatik Anwar Ibrahim kerana saya yakin beliau tidak sebersih Tuan Guru Nik Aziz atau sealim Dr. Yusof Qardhawi yang beliau sering sebut-sebut.  Saya juga sedar yang beliau mempunyai "baggage" tersendiri terutama dikalangan "orang kuat" beliau.  Tidak kurang yang telah menikam beliau dari belakang apabila sedar yang mereka mungkin terpinggir dalam senario politik baru yang bakal muncul. Tetapi saya kagum dengan iltizam Anwar walau apa sekali pun motif beliau. Tidak ramai yang sanggup berkorban seperti beliau.  Kalau hendak dicari perbandingan mungkin Tuan Guru Nik Aziz, Dr Syed Husin Ali dan YB Lim Kit Siang saja yang telah melalui ranjau yang hampir sama seperti beliau.

Oh seperti biasa, saya melarat lagi. Hari Sabtu tersebut saya terpaksa ke Bandar Muadzam, Pahang kerana menghadiri walimah anak kepada sepupu saya, Hj. Yusof Ali, disana.  Ini kali ketiga beliau menjemput saya ke walimah anak beliau. Saya terpaksa pergi kerana tidak dapat hadir ke majlis2 sebelum ini. Haji Yusof bukan saja sepupu malah seorang sahabat rapat saya semasa zaman persekolahan walaupun saya di aliran Inggeris dan beliau di aliran Melayu.  Beliau seorang pelajar yang pintar.  Semasa peperiksaan MCE/SPM tahun 1975, beliau yang menuntut di Sekolah Alam Shah ketika itu merupakan salah satu pelajar terbaik seluruh negara. Nama beliau tersiar di akhbar. Oleh kerana kami sebaya, kami begitu rapat terutama bila cuti sekolah.  Kami sama2 membuat kelas tuisyen percuma untuk anak2 kampung. Ketika itu, "saham" kami berdua memang tinggi di mata orang kampung. Kira2 kalau kami masuk meminang sudah pasti diterima. Kami berpisah apabila saya melanjutkan pelajaran ke Amerika. Yusof masuk UTM, Jalan Semarak. Akhirnya beliau berkahwin dengan anak murid kami ketika kami mengadakan kelas tuisyen.

Balik ke Bersih 3.0. Dari apa yang saya baca, (mengikut penganjur dan penentang Kerajaan Persekutuan) ia merupakan versi Bersih yang paling berjaya. Dari segi peserta saya rasa memang betul tetapi dari segi impak belum tahu lagi.  Ada beberapa perkara yang membuat saya tidak begitu senang dengan Bersih 3.0:
  • Pengerusi bersama Bersih, Ambiga, memakai beberapa topi.  Salah satu adalah Pengerusi LBGT.  Fakta ini mudah di ambil kesempatan oleh penentang Bersih. Malah ada kawan2 saya terang2 tidak menyokong Bersih sebab takut di kaitkan dengan LBGT. Sepatutnya Ambiga fokus pada Bersih sahaja.
  • Ia diadakan terlalu rapat dengan Bersih 2.0. Pihak pemerintah sudah bersedia untuk mensabotaj Bersih 3.0 kerana tiada lagi "element of surprise" seperti Bersih yang sebelum ini. Nasib baik pihak Kerajaan tidak berapa cerdik walaupun mereka sebenarnya mereka patut tahu bagaimana hendak bertindak untuk mendapat simpati rakyat. Mereka cuma berjaya menanam agen provocateurs dalam kelompok Bersih untuk menunjukkan keganasan ahli Bersih tetapi tindakan lebih tidak cerdik mereka apabila "mengganas dalam uniform" terhadap rakyat dan pihak media menyebabkan mereka kelihatan macam samseng.
  • Pihak parti politik terutama dari PKR (Azmin dan Anwar) terlalu menonjol dalam Bersih. Memang tidak dinafikan bahawa kejayaan Bersih sangat bergantung pada sokongan padu parti politik. PAS, saya rasa, paling ramai menghantar  peserta. Bapa saudara saya, ahli PAS yang berumur lebih 70 tahun pun sanggup datang dari Melaka untuk menyertai Bersih. Tetapi penglibatan parti politik sepatutnya berakhir setakat menghantar peserta dan memastikan mereka tidak bertindak liar.  Sumbangan tenaga Unit Amal PAS memang diperlukan. Saya lihat ada ahli politik yang mungkin tidak selalu mendapat sambutan hangat dari audiens yang besar hilang kawalan diri dan melakukan atau mengucapkan perkara dan perkataan yang boleh diambil kesempatan oleh pihak lawan. 
Akhirnya kejayaan sebenar Bersih 3.0 perlu dilihat dari perspektif sama ada ia berjaya memahamkan rakyat bahawa piluhanraya di Malaysia sebenarnya terlalu menekan pihak pembangkang sehingga ia gagal mencerminkan kehendak rakyat yang sebenar. Pihak pembangkang tertekan dari berbagai aspek:
  • Pembangkang tidak berpeluang menggunakan media arus perdana
  • Media arus perdana tidak melaporkan apa yang berlaku dengan adil
  • Pemerintah menggunakan wang negara untuk membantu parti mereka sahaja
  • Proses pengundian boleh dipertikaikan, mulai dari persempadanan kawasan mengundi, pendaftaran pengundi, proses mengundi, undi pos, proses pengiraan undi dan entah apa-apa lagi
Kalau dilihat dari komen kawan2 saya, Bersih 3.0 tidak banyak merubah sempadan pemikiran mereka terhadap proses pilihanraya di Malaysia. Yang menyokong pemerintah tetap percaya pada apa yang di persembahkan oleh media arus perdana dan yang anti pemerintah tetap dengan pendirian mereka.  Cuma saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh yang memilih untuk berdiam diri. Ini kayu ukur sebenar kejayaan atau kegagalan Bersih 3.0.  Tapi saya gembira kerana hampir kesemua ahli keluarga saya memilih untuk berubah.