Saturday, October 20, 2007

Ziarah Sahabat



At Rahim Ani's house (Rahim at far left)











































At Rosli Md Tan's house












Sempena bulan Syawal yang mulia tahun ini, beberapa orang sahabat dari MHS telah meluangkan masa untuk melawat rakan-rakan yang kurang bernasib baik kerana menghadapi masaalah kesihatan. Kami telah merancang untuk bertemu di rumah Rosly Sanusi di Seksyen 20 Shah Alam sebelum bertolak kerumah Rahim Ani di Seksyen 27 dan seterusnya kerumah Rosli Md Tan di Seksyen 16.

Rosly Sanusi
Kami menggunakan rumah Rosli Sanusi sebagai tempat berkumpul sebelum berkonvoi kerumah Rahim. Lagipun beliau tahu dimana letaknya rumah Rahim. Rosly Sanusi telah hampir 20 tahun tinggal dirumahnya di Jalan 20/2 Shah Alam. Semasa kami sampai beliau sedang sibuk membuat persiapan untuk memasak untuk kenduri kahwin jiran beliau. Rosly ialah seorang kontraktor kecil yang membuat prasarana untuk Telekom. Selain itu beliau juga banyak membuat kuih untuk hari raya dan hari perayaan lain. Beliau juga mengambil kontrak catering disekitar Shah Alam. Pendek kata beliau memang "all rounder".

Saya sampai agak lewat juga (sekitar pukul 2:45 ptg). Semasa saya sampai, Mokhlis, Ghafar danHj. Hamid telah pun sampai. Selepas itu beberapa orang lagi sampai termasuk Azhar Haron, Syed, Mazlan Md Zin dan Nurjihad. Sekitar pukul 4:00 ptg kita berangkat ke rumah Rahim Ani di Seksyen 27. Setibanya kami di sana, Sdra Wilmie menunggu dalam kereta sementara Sdra Mazlan Minhat dan Jeffri Jabbar telah pun berada dalam rumah Rahim.

Rahim Ani
Rahim Ani bertugas di JPJ Padang Jawa. Beberapa bulan yang lepas, tahap kesihatan beliau telah merosot. Walaupun tidak terasa sakit, beliau mengalami pandangan berganda dan lemah otot sehingga tidak berupaya menampung berat badan sendiri. Dengan bantuan seorang jiran, beliau telah menjalani peperiksaan doktor di Hospital KL pada awal September 2007. Beliau disahkan mempunyai ketumbuhan di bahagian otak. Pada 26 Sep 2007 beliau telah menjalani pembedahan dikepala untuk mengeluarkan ketubuhan tersebut. Alhamdullillah, pembedahan tersebut berjaya. Semasa pertemuan kami beliau nampak ceria dan tidak dalam kesakitan. Cuma otot masih terasa lemah, kata beliau. Pandangan telah pulih. Memori beliau juga masih baik, malah banyak cerita-cerita lama terutama semasa beliau "membantu dan menemani" Norjihad masih dapat beliau ingati. Cuma ada perkara-perkara yang berlaku baru-baru ini agak samar buat beliau.

Satu perkara yang saya agak terkilan ialah apabila Rahim memberitahu kami bahawa beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya kurang bersetuju kerana saya rasa beliau patut teruskan bersama Kerajaan yang mempunyai banyak kemudahan jika beliau terus berkhidmat. Saya pasti beliau akan diberi tugas ringan sekembalinya beliau ke pejabat. Pada pendapat saya, semasa beliau mendapat tahu beliau mempunyai ketumbuhan tersebut beliau merasa yang beliau tidak lagi mampu bertugas lalu membuat keputusan berhenti. Saya berharap ada sahabat atau saudara beliau yang dapat menasihat supaya Rahim memikirkan kembali keputusan yang telah diambil. Kita yang telah lazim bekerja, jika tiba-tiba duduk dirumah akan mudah ditimpa kemurungan dan tahap kesihatan kita akan terus merosot.

Walau apa pun, saya dapat lihat, lawatan sahabat-sahabt pada hari baik dan bulan yang baik ini telah memberi kecerian kepada Rahim. Malah isteri beliau menyatakan kepada saya bahawa memang Rahim nampak gembira dengan kehadiran kami. Beliau berharap kami akan kerap datang untuk menziarah Rahim dimasa akan datang. Walaupun saya tidak berkesempatan untuk berkawan rapat dengan Rahim dengan lebih lama semasa di MHS (sebab beliau dan ramai sahabat lain berpindah ke ABC) saya mempunyai beberapa episod menarik bersama beliau yang saya rasa ada antara sahabat yang juga masih ingat dengan jelas. Tetapi cerita ini tidak patut dinukilkan disini. Takut nanti menjadi bahan bukti :-)

Rosli Md Tan
Rosli Md Tan tinggal di pangsapuri kerajaan seksyen 16 Shah Alam bersama isteri dan 4 orang anak. Isteri beliau bekerja dengan kerajaan negeri Selangor (kalau tak silap saya). Rosli sebenarnya telah menghadapi berbagai masaalah kesihatan sejak beberapa tahun yang lepas. Malah menurut beliau, dia telah tidak bekerja sejak 10 tahun yang lepas. Tetapi Rosli yang kita kenali memang mempunyai hati yang sangat cekal dalam setiap perkara yang beliau lakukan. Beliau memulakan persekolahan di sekolah Melayu Air Pak Abbas, Alor Gajah dan datang ke MHS (memasuki kelas Peralihan, Remove) cuma berbekalkan satu ungkapan bahasa Inggeris iaitu "Thank You", kata beliau sendiri. Tetapi berkat ketabahan, beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke UK.

Rosli sebenarnya cuma berada di MHS sehingga Tingkatan 3. Selepas LCE beliau telah pergi ke RMC untuk pelajaran menengah atas. Saya ingat Rosli sebagai orang yang membaca doa dan Yaasin semasa ramai orang yang "terasuk" di asrama lama dulu. Saya juga ingat beliau sebagai orang yang cuba mengalahkan saya dan Azhar Haron dalam permainan pingpong, tetapi sehingga hari ini masih belum berjaya. Menurut Azhar, semasa mereka bertemu di UK pun Rosli mengajak beliau bermain pingpong, tetapi Azhar masih menang seingga Azhar menghadiahkan bat pingpong beliau kepada Rosli.

Kalau nak cerita pasal masaalah kesihatan Rosli, saya rasa satu hari pun tak habis. Boleh buat buku. Tetapi buat mereka yang tahu, saya rasa, ada beberapa perkara yang kita boleh buat iktibar. Diantaranya:
  1. Bantuan oleh sahabat beliau Sdra Ajmal (juga bekas pelajar MHS) sehingga membolehkan Rosli berjalan kembali setelah hampir 3 tahun terlantar
  2. Sokongan guru kita, Cikgu Rejab
  3. Sokongan yang tidak terhingga dari keluarga terutama isteri dan anak-anak sehingga sekarang. Isteri beliau patut diberi penghargaan dalam hal ini.
  4. Semangat juang yang kuat dari Rosli sendiri sehingga sanggup belajar matematik Tambahan dalam bahasa Melayu untuk membolehkan beliau mengajar tuition dalam matapelajaran ini
Walau pun demikian, saya rasa, secara psikologinya Rosli masih belum berjaya keluar dari kemelut kesihatannya. Kalau ada sahabat yang rapat dengan beliau mungkin boleh memberi bantuan untuk memulihkan semangat beliau dalam hal ini. Beliau telah mengalami beberapa perkara yang cukup mencabar dan untuk kembali seperti sedia kala memerlukan masa yang lama. Bantuan dari kawan2 pasti diperlukan.

Demikian sedikit sebanyak coretan aktiviti ziarah pada Syawal kali ini. Untuk kawan2 yang turut serta, saya ucapkan terima kasih yang tak terhingga. Seperti biasa Sdra Mokhlis menjadi koordinator dan kali ini dibantu oleh Sdra Rosly Sanusi. Diharap dimasa akan datang aktiviti sebegini dapat diteruskan. Untuk sahabat2 kita Rahim dan Rosli kita doakan mereka cepat sembuh seperti sediakala.

Wassallam,
Hussin Othman

No comments: