Tuesday, November 18, 2008

Lambaian Kaabah

InsyaAllah, pada 28hb November ini saya dan isteri akan berangkat menunaikan fardhu haji yang pertama. Walaupun telah dua kali dapat menunaikan umrah, kami tetap merasa gementar tentang cabaran yang akan kami hadapi semasa mengerjakan rukun Islam yang kelima ini.

Terasa sangat tidak bersedianya kami. Kami tidak sempat mengikuti kursus yang dijalankan oleh Tabung Haji. Cuma sempat mengikuti Kursus Haji Perdana peringkat negeri Selangor. Mujur ada seorang rakan menganjurkan satu kursus khas bersama Dato' Kamal Mohamad. Dapat juga berguru bersama beliau kurang lebih empat jam.

Bila difikir-fikirkan semacam belum bersedia untuk mengerjakan haji. Tetapi jika diteliti semula bila pula kita akan betul-betul bersedia. Tuhan telah lama memfardhukan ibadat ini, tetapi kita yang tidak mahu membuat persediaan. Hati sangat-sangat berharap Tuhan akan memberi kemudahan dalam kami menjalankan kerja-kerja haji ini.

Ya Allah, kami memohon supaya diberi kemudahan dalam mengerjakan ibadat yang telah Engkau fardhu keatas kami semua. Kami sebenarnya terlalu cetek ilmu dalam segala bidang dan sangat lemah dalam segala hal. Berilah kami kekuatan untuk melaksanakan ibadat ini, berilah kami kemudahan dalam segala perkara, jauhkan kami dari segala sifat-sifat yang Engkau tidak sukai ketika kami berada disana dan seterusnya dalam hidup kami. Tetapkanlah niat kami semata-mata untuk menunaikan perintah Engkau Ya Allah dan untuk mendapat keberkatan dan keradhaan dari Engkau. Jadikanlah kami manusia yang lebih baik dari apa yang ada sekarang. Ya Allah, maafkan lah dosa-dosa kami, dosa ibubapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, guru-guru kami, rakan-rakan kami, jiran-jiran kami dan semua umat Islam. Ya Allah perkenankan lah segala hajat kami Ya Allah. Amin Ya Rabbalalamin.

Kepada semua yang membaca, maafkan segala kesalahan kami, halalkan makan minum kami dan hutang-hutang kami.

4 comments:

Mokhlis said...

Amin Ya Rabbal Alamin. Ya ALLAH kau limpahkan lah kerahmatan MU keatas sahabat ku ini yang akan menyahut lambaian MU menunaikan rukun Islam yang ke lima ini. Hamba MU ini sentiasa mendoakan agar sahabat ku ini akan dikurniakan Haji yang Mabrur dan selamat pulang ke tanah air setelah beliau KAU kurniakan keimanan yang sempurna. Ya ALLAH kau peliharalah keluarga beliau dikala beliau berada di tanah suci MU. Permudahkanlah segala urusan beliau.

Sahabat ku - Doakan lah kami disni agar dipercepatkan pula hajat kami untuk menunaikan rukun ini.

Anonymous said...

aLong,

Selamat menunaikan ibadah haji.
Semoga memperolehi haji mabrur.

Haslina

Haizir said...

Along,

Selamat menjadi tetamu Allah. Semoga dapat menggunakan peluang yang jarang ada ini dengan semaksimum mungkin. Semoga dapat menjadi hamba Allah yang terbaik!

Pak Zawi said...

HBO,
Maaf saya kerana terlepas pandangan akan pemergian Tuan untuk menjadi tetamu Allah. Saya mengucapkan selamat pulang dan semoga tuhan telah memberikan hadiah haji yang mabrol.