Pesta Buku 2011 sangat istimewa buat saya kerana dapat berjumpa seorang insan biasa yang luar biasa. Saya mula "mengenali" Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim beberapa hari sebelum saya mengerjakan ibadat haji pada tahun 2008. Buku Travelog Haji beliau dihadiahkan oleh adik saya untuk bekalan menunaikan haji. Saya dan isteri sebenarnya tidak langsung mengikuti kursus haji bersiri yang diadakan dibanyak masjid. Kami cuma menghadiri kursus haji Perdana di masjid Shah Alam. Itu pun cuma disebelah siang, malamnya kami balik kerumah.
Ternyata buku Prof. Kamil banyak membantu saya di Mekah walaupun buku tersebut tidak menyentuh tentang hukum dan rukun haji secara detail. Ia banyak mengajar saya menjadi "street smart" dalam mengerjakan ibadat. Tetapi apa lebih menyentuh hati saya ialah transformasi seorang Hamba Allah yang biasa kepada yang luar biasa. Ia sangat releven kerana majoriti manusia, termasuk saya, tergolong dalam kategori biasa ini. Saya sangat cemburu dan berdoa agar dapat meningkat ketahap yang lebih dari biasa walaupun bukan luar biasa. Apabila saya membca buku kedua Prof. Kamil yang banyak menyentuh tentang pengalaman beliau di UiTM Segamat, saya terasa yang beliau telah membuat satu "quantum leap" dalam perjalanan hidup beliau sedangkan saya masih ditahap lama.
Mungkin saya silap mengkategorikan Prof. Kamil sebagai manusia biasa kerana beliau sebenarnya tidak biasa. Beliau dikurniakan kepintaran dan bakat dalam banyak bidang sehingga tidak langsung menghadapi masaalah lulus dengan cemerlang dalam mendapat Diploma, Ijazah, Sarjana dan juga PhD. Beliau kemudian menjadi Prof. termuda di UiTM dan sangat rajin menghasilkan buku dan rencana ilmiah. Cuma sebagai Hamba Allah beliau manusia biasa (mengikut pengakuan beliau sendiri). Jika diamati perjalanan hidup beliau tidak jauh beza dari perjalanan hidup saya dan malah ribuan orang lain. Itu yang biasanya.
Apa yang luar biasa ialah beliau dikurniakan anugerah yang amat berharga oleh Allah swt. untuk berhijrah ketahap yang lebih mulia disisiNya. Tetapi jika beliau boleh mengapa kita tidak boleh? Ramai yang bermula ditahap yang lebih tinggi dari beliau tetapi terus statik ditahap tersebut. (Mungkin saya sebenarnya tergolong dalam kelompok ini). Kisah hidup dan kejayaan beliau ingin saya jadikan "benchmark" untuk diri saya. Mungkin saya tidak akan naik setinggi beliau, tetapi memadai jika saya dapat mencapai tahap tertinggi yang "sepatutnya" saya sampai. Saya cemburu dengan beliau dan amat berharap untuk menjadikan beliau sebagai pengerak diri.
Majlis pelancaran buku Prof. Kamil yang terbaru, "50 Tips Haji dan Umrah", meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya. Alunan nasyid dan zikir oleh Imam Masjid UiTM Segamat menyebabkan saya sebak dan menitiskan air mata. Ucapan bersahaja oleh Dato' Zakee, sahabat Prof. Kamil di UiTM Dungun, memberi saya satu harapan bahawa masih ada jutawan yang terus berpijak dibumi nyata dan tidak leka dengan kejayaan dunia yang sebenarnya ujian dari Allah. Turut dilancarkan ialah buku Travelog Impian Abadi oleh isteri Prof. Kamil, Puan Roza. Terima kasih kepada Dato' Zakee yang menghadiahkan kedua-dua buah buku kepada semua yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Majlis yang bermula tepat pada masa melupakan saya bahawa saya telah berada di PWTC mulai pukul 11:00 pagi, menunggu di depan pintu bilik Johor yang ketika itu dipenuhi oleh pelukis komik. Saya juga lupa bahawa saya cuma makan tengahari pada pukul 4:00 petang, itu pun cuma rojak dan cendol yang tak berapa sedap. Tetapi ia pengalaman yang tidak mungkin saya lupa.
Saya masih belum mula membaca buku Prof. Kamil yang terkini tetapi saya telah menghabiskan masa 3 jam pada hari Ahad lepas untuk membaca 257 mukasurat, tidak termasuk 5 mukasurat Prolog dan 4 mukasurat Catatan Pengarang, buku yang ditulis oleh Puan Roza yang sebenarnya kisah cinta beliau dengan Prof. Kamil. Ia menceritakan bagaimana seorang senior yang mempunyai banyak kelebihan (bijak, ahli pidato, ketua pelajar) telah berjaya menggoda seorang freshie yang masih naif (baru lepas sekolah menengah, pertama kali berjauhan dari keluarga) tetapi ia dilakukan dalam kerangka yang terkawal dan niat yang baik maka akhirnya mendapat Redha Allah swt.
Dunia ini mempunyai berbilion penghuni tetapi berapa ramai yang berjaya menjadi signifikan dalam hidup? Kalau pun tidak untuk orang lain tetapi signifikan kepada diri sendiri dan mereka yang terdekat. Prof. Kamil pada saya telah menjadi signifikan kepada ramai orang termasuk saya. Tulisan di blog beliau di
http://muhdkamil.org/blog/ saya ikuti setiap ada kelapangan. Ia memberi motivasi untuk saya membuat yang terbaik buat diri saya dan manusia yang terdekat dengan saya.
Tidak lama lagi Prof Kamil dan keluarga akan terus menaiki tahap yang lebih tinggi dan signifikan apabila mereka berhijrah ke Madinah. Bukankah junjungan Nabi kita juga berhijrah ke Madinah? Semoga hijrah beliau akan menambah lagi sumbangan beliau kepada penambahan ilmu dan pengalaman untuk kita semua. Kita doakan Prof. Kamil sekeluarga sentiasa diberi kemudahan dalam segala urusan.
1 comment:
Along, Prof Kamil memang insan luar biasa, kalau lah anak-anak kita, yang mempunyai banyak masa dan peluang dapat mengambil pengajaran dan tips yang banyak diberikan di dalam blog beliau tentu mereka juga boleh menjadi insan biasa yang luar biasa seperti beliau.
Post a Comment