Tuesday, May 03, 2011

Pesta Buku 2011



Saya semakin yakin bahawa orang Melayu memang suka berpesta. Sebab itu pameran dan jualan buku tahunan diberi nama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Setiap tahun semakin ramai orang Melayu yang datang berpesta. Pada anggaran saya, mungkin 90% dari pengunjung pesta buku adalah orang Melayu.

Sebenarnya saya patut rasa bangga kerana begitu ramai orang Melayu yang berhasrat untuk menimba ilmu dengan membaca buku. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat begitu ramai pelajar sekolah yang turut hadir dari seluruh pelusuk Semenanjung. Tetapi saya sangat-sangat berharap ada pihak yang membuat analisis terperinci tentang pembelian yang dibuat oleh pengunjung-pegunjung yang begitu ramai. Apa jenis buku yang mereka beli dan apakah kesan yang boleh diraih dari pembacaan mereka dengan pembelian tersebut.

Walaupun demikian, kita berharap budaya membaca (tanpa mengira jenis bacaan) akan menjadi penggalak untuk mereka lebih tertarik kepada pembacaan berbentuk ilmiah dimasa akan datang. Seperti biasa, gerai-gerai yang popular seperti Karangkraf dan penerbit majalah popular sentiasa dikerumuni pengunjung sehingga tidak boleh bergerak kita dibuatnya. Saya langsung tidak singgah di gerai-gerai tersebut kerana terlalu sesak.


Apa yang menarik perhatian saya juga ialah kecenderungan pengunjung kepada gerai-gerai yang menjual buku-buku agama seperti gerai PTS, Telaga Biru, Ana Muslim dan beberapa lagi. Saya yakin kesedaran orang ramai terhadap agama semakin mendalam walaupun kita sering melihat dan mendengar tentang kegiatan maksiat yang
berleluasa.


Tahun hadapan jika saya ada kesempatan untuk ke Pesta Buku, saya akan mengambil cuti dan pergi pada hari bekerja dan bukan hujung minggu. Semoga saya ingat pesanan saya sendiri.

2 comments:

Unknown said...

tahun depan saye pon nak ambik cuti gak le.. hehe.. tahun ni tak pegi pasal dah order 4 buku dari amazon. beli banyak2 takut x sempat nak bace.. harap2 kerajaan boleh tambahkan pelepasan cukai untuk ulat2 buku.. haha..

siti khadijah said...

Hari tu pergi Pesta Buku hari Khamis, memang tak berapa ramai orang, tapi hanya beli majalah resepi SAJI, yang ada 50% diskaun, kamus Bahasa Melayu dan buku Pantun Zaaba di gerai DBP.