Sunday, March 28, 2010

Berpesta di Pesta Buku


Hari Sabtu lepas, saya dan keluarga telah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Oleh kerana ini minggu terakhir pesta tersebut saya telah menjangka pengunjung akan ramai. Jadi kami telah pergi seawal mungkin, mengambil kira pesta dibuka pada pukul 10:00 pagi.

Kami sampai sekitar PWTC pada pukul 10:00 pagi, tetapi jalan telah mula sesak. Bas sekolah di letakkan disepanjang jalan. Murid-murid berpakaian seragam berkeliaran. Memang pesta, dan dimana ada pesta disitu ada orang Melayu. Saban tahun saya mengunjungi pesta buku memang pengunjungnya rata-rata Melayu, pasti lebih 95%. Tahun ini juga begitu. Sungguh kuat membaca orang Melayu nie.


Saya sebenarnya mempunyai beberapa "target" buku yang ingin saya cari, tetapi memandangkan keadaan yang ada saya tak yakin saya dapat berjumpa apa yang saya cari, jadi saya cuma pergi dengan fikiran terbuka.


Dipendekkan cerita, kami telah berada di pesta tersebut selama kurang lebih 5 jam. Jumlah resit yang saya kumpul dalam masa tersebut melebihi 50% dari potongan yang dibenarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pembelian buku setahun. Saya tidak terkilan berbelanja untuk membeli buku cuma sangat berharap buku-buku yang dibeli akan habis dibaca sebelum pesta serupa datang lagi tahun hadapan.


Seperti lazimnya, tumpuan paling ramai pengunjung ialah booth Karangkraf (menjual majalah dan novel remaja); Kumpulan Gila-Gila (komik dan novel), MOY Publications (komik Ujang), PTS Publications dan yang seumpamanya. Bukannya salah membaca bahan yang ringan tetapi sekali-sekala kita perlu juga membaca buku-buku yang ada maklumat terutama maklumat yang boleh diamal untuk kebaikan kita, keluarga dan masyarakat. Tetapi saya juga melihat banyak gerai menjual buku-buku berunsur keagamaan dan gerai-gerai ini mendapat sambutan baik.

Kami meninggalkan PWTC yang semakin sesak sekitar 3:30 ptg untuk menunaikan solat Zohor dan kemudiannya makan tengahari pada pukul 4:00 petang. Seronoknya berpesta hingga lupa makan.


Nota:
Gambar paling atas: diantara buku-buku yang telah kami borong
Gambar paling bawah: buku khas yang dibeli untuk anak bongsu saya, Nurhani

No comments: