Monday, June 28, 2010

Pakcik Tik


Entri ini mungkin agak terlambat sebab seorang adik dan seorang anak saudara saya telah pun memblog topik yang sama. Tetapi saya mesti memasukkan juga entri ini dalam blog saya, jika tidak blog ini akan "kehilangan" satu episod yang amat penting dalam kehidupan saya.

Pakcik Tik Yasin adalah seorang rakan karib arwah ayah saya. Saya pernah memblog perkara ini tidak berapa lama dulu atas tajuk "Family Friends". Sejak yang saya ingat, Pakcik Tik, isteri beliau Makcik Bedah dan semua ahli keluarga mereka merupakan sesuatu yang sinonim dengan keluarga kami. Malah mereka yang sebenarnya tidak mempunyai tali persaudaraan khusus (selain dari keluarga seagama dan sebangsa) merupakan satu kemestian dalam setiap acara keluarga yang kami adakan. Seringkali, mereka kami anggap lebih penting dari sesetengah ahli keluarga kami sendiri.


Kedua-dua keluarga kami mempunyai jumlah ahli yang besar. Bila kami berjumpa semasa hari raya (selalunya kami akan bergilir, setahun di Bukit Rambai dan setahun di Kesang) suasana akan menjadi heboh, kecoh dengan kegembiraan. Saya masih terbayang suasana meriah sebegini terutama ketika Makcik Bedah masih ada. Sekarang, semua ini tinggal kenangan cuma.

Satu jasa Pakcik Tik dan Makcik Bedah yang tidak mungkin dapat kami sekeluarga lupakan ialah usaha mereka mengatur perkahwinan ayah kami dengan Makcik Rammelah. Jasa seorang kawan yang memberi menafaat yang tidak terhingga bukan saja kepada kawan tersebut tetapi kepada anak-anak dan cucu-cucu beliau. Cuma Tuhan yang dapat membalas jasa ini.



Kali terakhir saya berjumpa dengan Pakcik Tik ialah penghujung tahun 2009 di rumah anak beliau, Amran, yang tinggal dekat Batu Caves. Waktu itu Pakcik Tik baru saja terjatuh di bilik air dan beliau datang berehat dirumah Amran. Seperti biasa, ketika bertemu kami beliau begitu ceria, cuma pendengaran beliau agak kurang.

Sebenarnya saya baru merancang untuk bertemu beliau pada Hari Raya akan datang untuk bertanya tentang kisah Natrah yang berlaku di Singapura pada tahun 1950an. Saya baru selesai membaca buku tentang Natrah dan ada beberapa soalan yang ingin saya ajukan kepada Pakcik Tik tetapi ternyata saya terlambat. Saya punya rancangan tetapi rancangan Yang Maha Esa jua yang mengatasi segala-galanya.

Pakcik Tik meninggal dunia pada hari Khamis malam Jumaat, 24 Jun 2010 bersamaan 12 Rejab. Semoga roh beliau di beri keampunan dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. AlFatihah buat Pakcik Tik dan Makcik Bedah.

2 comments:

nadiah said...

Pak Long, masa kitorang pergi melawat hari tu, Cik Ina cerita pasal raya gilir2 kat Bukit Rambai dengan Kesang ni dekat saudara diorang. Anak Cik Ina siap tanya lagi, raya kali ni giliran siapa pula?

Anonymous said...

Jom beramai2 ke Bukit Rambai raya ni. Ajak sekali pengantin2 baru i.e. Aidil, Junaidi & Makcik Athirah. :)