Wednesday, June 30, 2010
NATRAH
Saya baru selesai membaca buku Natrah karya Datin Fatini Yaacob terbitan UTM Press. Bacaan buku setebal lebih 450 muka surat ini memerlukan iltizam yang tinggi untuk dihabiskan. Ditambah lebih 40 muka prakata dan penghargaan ianya memang mencabar. Bukannya ia membosankan tetapi oleh kerana ketebalannya, saya semacam tidak ingin "membuang masa" untuk membacanya memandangkan banyak perkara lain yang saya perlu beri perhatian pada masa ini. Nasib baik saya telah dikehendaki untuk ke Vietnam dan Indonesia minggu lepas, jadi kesempatan diatas pesawat saya gunakan sebaiknya untuk tujuan ini.
Buku ini telah ditulis dengan lengkap, saya rasa, merangkumi berbagai aspek manusia yang bernama Natrah (Nadra sebenarnya) atau Bertha Hertogh. Penulis telah membuat penyelidikan yang teliti dan menyeluruh, semestinya sejajar dengan hakikat yang ia diterbitkan oleh percetakan sebuah universiti penyelidikan. Tetapi saya agak musykil mengapa mesti ada tiga "Prakata". Tulisan Naib Canselor UTM saya akui relevannya tetapi apa perlu prakata dari Daim Zainuddin (mantan Menteri Kewangan) dan Tan Sri Adam Kadir (mantan YDP Dewan Negara). Saya "memaksa diri" untuk membaca kedua-dua prakata yang saya persoalkan ini dengan harapan dapat terjumpa mutiara kata yang memberi justifikasi perlunya ia dimuatkan dalam buku ini tetapi saya tidak terjumpa. Ini membuat saya memulakan bacaan buku ini dalam persepsi yang becampur baur. Tetapi bila penulis memulakan ceritanya dengan memberi latar belakang Natrah di Bandung, saya sudah merasa susah untuk meletakkan buku ini.
Saya sememangnya meminati bacaan yang berbentuk "real life", jadi tidak hairan saya mudah membaca buku ini apabila telah bermula. Banyak perkara yang menarik perhatian saya terutama catatan tentang rusuhan yang berlaku di Singapura ekoran perbicaraan di mahkamah Inggeris yang memaksa Natrah berpisah dari keluarga angkatnya dan dikembalikan kepada keluarga asalnya yang nyata tidak begitu menghendaki beliau. Saya pernah membaca tentang rusuhan ini. Saya juga pernah mendengar arwah ayah bercerita tentangnya tetapi saya tidak mempunyai latar belakang yang mencukupi ketika itu untuk bertanya lebih lanjut.
Sekarang saya sudah ada fakta tetapi ayah pula sudah tiada. Ia sudah pasti menarik jika saya dapat bertanya dengan ayah yang menjadi polis di Singapura ketika itu. Berbagai pengajaran yang boleh didapati dari cerita Natrah ini terutama sejaran dan sikap orang Melayu Islam. Ia juga memberi gambaran terhadap pemimpin dan kepimpinan Melayu yang saya rasa boleh dikaitkan dengan sikap kepimpinan Melayu yang ada sekarang. Ia juga memberi penekanan terhadap betapa pentingnya peranan media dalam membentuk pemikiran masyarakat.
Secara jujur saya nyatakan buku Natrah memang patut dibaca oleh semua orang Melayu. Cuma saya agak terkilan kerana penulis terlalu menyerlah dengan pandangan dan keprcayaan beliau. Sebagai sebuah buku yang mencatit sejarah beliau sepatutnya menyatakan fakta dan membiarkan pembaca berfikir dan membuat kesimpulan. Beliau tidak perlu melihat pembaca sebagai pelajar yang perlu dibentuk persepsinya. Memang penulis berhak terhadap pendapat dan pandangan beliau sendiri tetapi pembaca perlu diberi ruang untuk berfikir dan menemui kesimpulan masing-masing.
Memang kita sangat terkilan yang Natrah tidak dapat diselamatkan Islamnya. Tetapi ini semua ketentuan Yang Maha Esa dan sudah pasti Dia yang Maha Mengetahui tentang kebaikan untuk kita semua dari episod ini. Cuma kita yang tidak dapat menghargai kebaikan yang sudah semestinya ada dan telah kita nikmati.
Sebenarnya cerita Natrah bukan pertama kali cuba diketengahkan tetapi saya rasa buku ini yang paling komprehensif. Alangkah baiknya jika ada pihak yang sudi membiayai pembikinan filem Natrah dengan bajet yang besar. Kita tidak mahu membuat filem dengan bajet sekitar RM10 juta tetapi sekurang-kurangnya USD100 juta. Kita mahu filem tersebut membina kembali suasana Singapura sekitar 1950an lengkap dengan kostum dan sesuai. Kita mahu tunjukkan bukan saja dimana kekutatan Melayu ketika itu tetapi dimana kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan supaya ia tidak diulang.
Saya menjumpai beberapa sites yang bercerita tentang Natrah. Ada satu bolg entri yang saya rasa memberi gambaran yang agak peribadi dan informatif. Link entri tersebut saya sertakan disini.
: Aku, Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim dan Natrah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Along,
Ina pun sudah membaca karya ini :)
Along,
Ajah pun dah baca , tapi buku Fatini yang mula-mula, buku Ina, dah lupa, sebab dah lama. Fatini ni memang nampak emosional sikit, pernah dengar dia bercakap pasal Natrah dalam satu program bual bicara di TV 9.
Beberapa bulan lepas RTM 1 ada menyiarkan rakaman teater Natrah arahan Erma Fatima. Teater ini sangat bagus, kita menjadi lebih faham apa yang sebenarnya berlaku berbanding dengan hanya membaca bukunya, Maya Karin juga sangat bagus lakonannya, (menyanyi dan menari), cuma sayang di penghujung cerita ditunjukkan adegan Natrah (Maya Karin) bersembahyang di gereja, siap dengan patung-patungnya sekali.
Ina dan Ajah,
Terima kasih atas lawatan san komen. Bagus kita mengetahui sejarah dan belajar bukan saja dari pencapaian kita tetapi yang lebih penting dari kegagalan kita.
Tentang teater tu Along tak tengok, tetapi hakikatnya efek visual jauh lebih berkesan dari membaca huruf walau sebaik mana pun ia ditulis.
Adengan Natrah sembahyang di gereja adalah sesuatu yang telah berlaku dan ia membuat kita jadi teruja walaupun kisah yang serupa cuba di lakarkan oleh penulis dengan beratus mungkin beribu perkataan.
Malah imej ini (Natrah berada di gereja duduk mengadap patung virgin Mary) juga yang membakar semangat orang Melayu apabila ia dimainkan oleh media penjajah. Perlu diingat orang Melayu ketika itu bukanlah "alim sangat" hingga sanggup merusuh, tetapi kombinasi beberapa faktor yang membuat rusuhan itu berlaku.
Sebab itu kita amat berharap ada pihak yang sanggup membuat filem dengan kos yang tidak terhad untuk memaparkan kisah ini ke masyarakat hari ini
Post a Comment