Tuesday, April 20, 2010

Perginya seorang sahabat

This was supposed to be posted on Thursday, 15 April 2010. I only managed to send it to my ex-High School mailing group on that day.


Hari ini seorang lagi sahabat saya telah pergi bertemu Allah swt. Satu hari nanti (entah bila yang telah ditetapkan walaupun kita tidak tahu) kita juga akan pergi. Arwah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak (2 perempuan dan dua lelaki) yang tua baru lepas mendapat keputusan SPM yang cemerlang dan yang bongsu di darjah enam.

Arwah Abdul Rahim Aini bersama saya dari tahun 1971 hingga 1972 (rasanya) di asrama Melaka High School. Selepas itu beliau dan beberapa kawan saya yang lain telah berpindah ke asrama Bukit China (better known as ABC) where they apparently had more fun than those who remained in Jalan Chan Koon Cheng, like me.

Abdul Rahim that I remember was one of the most jovial friends around. Dengan selambanya dia akan membuat sesuatu atau berkata sesuatu. Saya tidak pernah ingat yang beliau pernah marah. Selepas sekolah menengah saya telah putus hubungan dengan beliau tetapi saya pernah bertemu beliau di JPJ Padang Jawa sekali untuk meminta pertolongan beliau menyelesaikan masaalah dengan pendaftaran kereta saya. Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah pada 20 Oktober 2007 semasa saya dan beberapa rakan menziarah beliau sempena Hari Raya Aidilfitri. Ketika itu beliau baru menjalani pembedahan di kepala.

Dibawah ini saya tampalkan (betul ker translation paste?) entri blog saya sempena lawatan tersebut yang berkait dengan arwah.

Abdul Rahim Ani bertugas di JPJ Padang Jawa. Beberapa bulan yang lepas, tahap kesihatan beliau telah merosot. Walaupun tidak terasa sakit, beliau mengalami pandangan berganda dan lemah otot sehingga tidak berupaya menampung berat badan sendiri. Dengan bantuan seorang jiran, beliau telah menjalani peperiksaan doktor di Hospital KL pada awal September 2007. Beliau disahkan mempunyai ketumbuhan di bahagian otak. Pada 26 Sep 2007 beliau telah menjalani pembedahan dikepala untuk mengeluarkan ketubuhan tersebut. Alhamdullillah, pembedahan tersebut berjaya. Semasa pertemuan kami beliau nampak ceria dan tidak dalam kesakitan. Cuma otot masih terasa lemah, kata beliau. Pandangan telah pulih. Memori beliau juga masih baik, malah banyak cerita-cerita lama terutama semasa beliau "membantu dan menemani" Norjihad masih dapat beliau ingati. Cuma ada perkara-perkara yang berlaku baru-baru ini agak samar buat beliau.

Satu perkara yang saya agak terkilan ialah apabila Rahim memberitahu kami bahawa beliau telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Saya kurang bersetuju kerana saya rasa beliau patut teruskan bersama Kerajaan yang mempunyai banyak kemudahan jika beliau terus berkhidmat. Saya pasti beliau akan diberi tugas ringan sekembalinya beliau ke pejabat. Pada pendapat saya, semasa beliau mendapat tahu beliau mempunyai ketumbuhan tersebut beliau merasa yang beliau tidak lagi mampu bertugas lalu membuat keputusan berhenti. Saya berharap ada sahabat atau saudara beliau yang dapat menasihat supaya Rahim memikirkan kembali keputusan yang telah diambil. Kita yang telah lazim bekerja, jika tiba-tiba duduk dirumah akan mudah ditimpa kemurungan dan tahap kesihatan kita akan terus merosot.

Walau apa pun, saya dapat lihat, lawatan sahabat-sahabt pada hari baik dan bulan yang baik ini telah memberi kecerian kepada Rahim. Malah isteri beliau menyatakan kepada saya bahawa memang Rahim nampak gembira dengan kehadiran kami. Beliau berharap kami akan kerap datang untuk menziarah Rahim dimasa akan datang. Walaupun saya tidak berkesempatan untuk berkawan rapat dengan Rahim dengan lebih lama semasa di MHS (sebab beliau dan ramai sahabat lain berpindah ke ABC) saya mempunyai beberapa episod menarik bersama beliau yang saya rasa ada antara sahabat yang lain juga masih ingat dengan jelas. Tetapi cerita ini tidak patut dinukilkan disini. Takut nanti menjadi bahan bukti :-)

Walaupun bersedih atas kehilangan seorang sahabat, saya gembira kerana beberapa sahabat masih dapat meluangkan masa menziarah beliau hingga ke tanah perkuburan pada siang tadi. Sdra Ghaffar Baba dan isteri datang dari Melaka.

Marilah kita sama-sama memaafkan antara satu sama lain atas apa yang telah kita lakukan semasa muda kita dan marilah juga kita sedekahkan Al-Fatihah kepada saudara kita yang baru meninggalkan kita. Al-Fatihah.

p/s: Saya dimaklumkan oleh Sdra Rosli Sanusi bahawa Pengarah JPJ telah menolak perletakan jawatan arwah Abdul Rahim Ani Oleh itu isteri beliau berhak untuk mendapat pencen arwah.

No comments: