Wednesday, December 30, 2009
Pergi tak kembali
Selasa 29 Disember 2009
Saya dikejutkan dari tidor oleh bunyi telefon bimbit yang saya caj sebelum tidor. Dalam suasana samar saya sempat melihat (tanpa kaca mata) jam dinding, beberapa minit selepas 6:00 pagi. Saya melihat telefon untuk mengetahui pemanggil, Haslina.
Haslina: Assallamualaikum.
Me: Mualaikum sallam.
Haslina: Along ada dapat call dari Abang Hamzah?
Me: Takder
Haslina: Kak Yati dah takder, dah meninggal dunia
Me: Innalillahi wainnaillahirojiun. Bila?
Haslina: Sebelum subuh. Along nak pergi Temerloh ker?
Me: Pergi ler
Haslina: Nanti Ina datang rumah Along. Ina nak tumpang
Saya memaklumkan berita pada isteri yang telah bangun setelah mendengar saya bercakap telefon. Fikiran masih belum tenteram, baru minggu lepas kami adik beradik bersama mengendalikan kenduri perkahwinan adik kami Azizah. Yati, isteri adik saya Hamzah pun ada bersama. Beliau kelihatan biasa saja, walaupun saya memang jarang bercakap banyak dengan adik-adik ipar saya yang perempuan.
Kami membuat persiapan untuk berangkat ke Temerloh. Saya tidak berapa risau untuk kesana kerana beberapa tahun lalu ketika anak kami yang tua menuntut di UiTM Jengka kami memang selalu melalui bandar Temerloh. Tapi agak lama juga kami telah tidak ke pantai timur.
Setelah sarapan kami sekeluarga bersama dua anak saudara yang kebetulan masih bersama kami sekembali dari bertandang di Ijok berangkat ke Temerloh, sekitar pukul 9:15 pagi. Haslina memandu kereta sendiri kerana ramai yang tidak ada kenderaan. Di tol Gombak, kami berjumpa kereta adik saya, Hashim. Sebelum sampai tol Bentong, kami berjumpa pula kereta Haslina. Perjalanan lancar kerana kenderaan tidak berapa banyak. Lagipun kita mengikuti lebuhraya sepenuhnya. Sampai di Temerloh sekitar pukul 11:00 pagi.
Setiba kami di Taman Bunga Raya Temerloh, jemaah sedang mengurus jenazah. Kaum perempuan masuk kedalam rumah sementara kaum lelaki duduk di luar. Saya sempat baring dalam kereta sementara menunggu jenazah dimandikan. Pada pukul 12:30 jenazah dibawa ke surau berdekatan untuk di solatkan. Hamzah menjadi Imam. Agak ramai juga jemaah yang hadir, tak kurang dari 100, saya rasa.
Selesai solat kami berangkat ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 3 km dari bandar menghala ke Triang. Semua urusan berjalan lancar dan kerja-kerja pengkebumian selesai dalam pukul 2:00 petang. Kami pun pulang ke Taman Bunga Raya. Selesai makan tengah hari kami berangkat kembali ke Kuala Lumpur.
Arwah adik ipar saya berumur 47 tahun dan bertugas sebagai seorang guru. Hari sebelumnya beliau menghadiri mesyuarat guru disekolah kerana persiapan untuk tahun baru persekolahan. Beliau pergi bertemu Pencipta meninggalkan seorang suami dan 9 orang anak, kebanyakannya masih kecil lagi. Baliau meninggal dalam tidur tanpa pengetahuan sesiapa. Adik saya ketika itu tidak ada dirumah. Ketika beliau kembali arwah tidak bangun, adik saya menjangka beliau tidur. Tetapi adik saya cuba mengejutkan arwah apabila azan subuh baru beliau sedar bahawa beliau telah kehilangan isteri.
Begitu mudah untuk Allah melaksanakan apa yang telah Dia rancang.
AlFatihah buat arwah adik ipar saya. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh mereka yang soleh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment