Thursday, January 28, 2010

Dari Allah kita Datang......

Pagi, hari Ahad, 24 Januari, saya, isteri dan anak bongsu mengambil keputusan untuk ke Melaka, melawat anak lelaki saya Ahmad Afiq yang sedang buat "praktikal" dengan tukang gunting rambut di kampong kami. Saya tahu Afiq dah mula boring sebab tak dapat main futsal setiap petang seperti di Kelana Jaya; tak ada handphone untuk bergayut dan tidak ada Astro untuk tengok Chelsea.

Selepas sarapan kami tiga beranak bertolak tanpa sebarang tekanan masa. Sesampai kami di kampong, Afiq sedang main playstation (nasib baik ada permainan ini untuk beliau menghabiskan masa). Selepas minum dan bercerita sedikit sebanyak, kami pun keluar. Makcik pun ikut sebab nak beli barang dapor. Anak2 adik saya pun mengikut juga. Sepupu2 Afiq yang berumur 7 dan 10 tahun nampaknya telah menjadi "pengikut setia" beliau.

Kami kembali kerumah sekitar pukul 3:00 petang. Cuaca sangat panas (Makcik cakap dah lama tak hujan di kampong). Saya bercadang untuk tidor sejenak sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Tetapi belum sempat tidor, isteri saya menerima sms dari adik beliau di KL mengatakan ibu saudara mereka di Singapura telah kembali ke Rahmatullah selepas zohor. Dah lama juga kami tidak melawat beliau.

Isteri saya ingin melawat jenazah di Singapura. Dari Melaka perjalanan ke Singapura akan mengambil masa tidak lebih dari 3 jam. Tetapi kami tidak membawa pasport, jadi terpaksa pulang ke KL dulu. Setelah menyerahkan handphone kepada Afiq dan memberi sedikit duit untuk top-up, kami terus kembali ke KL sekitar pukul 5:00 petang. Saya bercadang untuk memandu ke JB dan mengambil teksi ke Singapura. Kakak ipar yang tinggal di Melaka mengambil keputusan untuk naik kapal terbang bersama suami dan anak mereka.

Selepas makan malam dan solat Isyak saya cuba melelapkan mata buat persiapan untuk memandu. Isteri mengejutkan saya pukul 12:00 malam. Kami bertolak pada jam 12:35 malam dari Kelana Jaya dan sampai di JB pada pukul 3:45 pagi. Selepas berehat seketika dan minum pagi kami menaiki teksi untuk ke Singapura sebelum pukul 6:00 pagi. Causeway telah mula sesak dengan motosikal dan bas kilang membawa pekerja Malaysia ke Singapura.

Kami tiba di Kembangan Singapura lebih kurang 10 minit sebelum pukul 7:00 pagi. Tiada orang di rumah kecuali sepupu isteri saya, isteri dan anak bongsu beliau dan pembantu rumah mereka. Kami pun mula membaca ayat-ayat Quran yang termampu. Sekitar pukul 8:00 pagi wakil dari MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) tiba untuk menguruskan jenazah. Cuma dua orang yang datang, seorang lelaki pembawa van jenazah yang lengkap dengan keranda dan tempat mandi jenazah dan seorang wanita yang akan memandikan jenazah.


Isteri saya dan beberapa wanita lain membantu memandikan jenazah. Sementara itu saya sempat melelapkan mata diatas kerusi. Kaum keluarga dan jiran-jiran mula datang, tetapi tak ramai. Maklumlah di Singapura tidak ramai orang Melayu. Arwah makcik isteri saya cuma seorang di Singapura (adik beradik beliau dan saudara terdekat masih di Sumatera). Beliau pula cuma mempunyai seorang anak (sepupu isteri saya). jadi saudara-mara cuma di sebelah isteri beliau dan sepupu yang datang dari Malaysia.

Pengurusan jenazah sungguh efisien. Pada pukul 9:15 pagi semuanya telah selesai dan sedia untuk disolatkan. Pemandu van jenazah rupanya adalah Imam dari MUIS yang akan menjadi Imam. Semua yang hadir menyertai solat jenazah. Untuk ke tanah perkuburan, telah disediakan bas (saya tidak bertanya siapa yang menyediakan bas tersebut). Saya menaiki bas untuk melihat cara pengkebumian walaupun mata mengantuk. Saya dimaklumkan perjalan untuk ke satu-satunya tanah perkuburan di Singapura akan memakan masa lebih kurang 45 minit. Diatas bas saya sempat melelapkan mata sekali lagi.


Tanah perkuburan luas dan begitu teratur sekali. Terdapat tanah perkuburan Cina, Islam dan Kristian. Ruang kubur telah tersedia. Semuanya dibuat dengan konkrit kecuali di bahagian bawah dimana di buat liang untuk diletakkan jenazah. Oleh sebab saiz konkrik standard, maka ia kelihatan begitu teratur. Ruang yang telah siap ditutup dengan penutup konkrit juga yang hanya boleh diangkat dengan mesen pengorek. Ia juga agak luas dan memudahkan kerja-kerja meletak jenazah didalam liang. Setelah jenazah diletak didalam liang dan ditutup sedikit tanah ia ditutup dengan papan sebelum mesen pengorek diguna untuk memasukkan tanah. Kerja-kerja dapat disiapkan dalam masa 30 minit. Imam yang sama membaca talqin dan doa. Kami pun bersurai selepas itu. Perjalanan balik mengambil masa yang sama.


Sampai dirumah diadakan bacaan tahlil ringkas. Para hadirin kemudianya dihidangkan dengan nasi bungkus yang dibeli dengan harga SD3.50 satu. Nasinya cukup banyak, lauk ayam, sayur dan telor. Saya pun membuat persiapan untuk kembali ke Malaysia. Saya tidak mahu terperangkap didalam jam apabila para pekerja balik dari kerja petang nati. Setiba di JB saya menghabiskan sedikit masa disana. Satu perkara yang saya nampak ialah ramai rakyat Johor "berkabong" atas kemangkatan Sultan Johor dengan memakai songkok yang berlilit kain putih dan sebagainya.


Selepas makan malam, kami meninggalkan JB pada pukul 8:30 malam dan sampai di Kelana Jaya pada pukul 12:30 tengah malam. Jadi, saya telah meninggalkan Kelana Jaya untuk ke Singapura dan kembali semula dalam masa 24 jam dengan tidor kurang dari 2 jam sahaja.

Sekarang telah hilang satu motivasi untuk kami ke Singapura. AlFatihah buat Mak Ani. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.

No comments: