Thursday, September 09, 2010

Akhir Ramadhan 1431 H

Malam semalam saya sempat melakukan solat sunat tarawikh dan solat sunat witir di masjid kariah saya, Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya. Kedua-dua solat diimamkan oleh Imam jemputan dari Masjid Bukit Damansara. Imam muda yang cukup sedap bacaannya. Beliau membaca doa yang panjang ketika qunut dalam solat witir, ala Imam Mekah. Ketika itu saya menitiskan air mata walaupun tidak mengerti makna doa yang dibacakan.

Sebenarnya kesedihan saya bukan sangat sebab doa yang dibaca, walau pun ia telah memberi satu latar belakang yang mengharukan, tetapi mengenangkan tentang berakhirnya Ramadhan dan bersamanya solat tarawikh kali ini. Terfikir oleh saya, masihkah Tuhan memberi saya peluang untuk bertemu Ramadhan akan datang? Jika pun bertemu, masihkah Tuhan memberi nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa untuk mengerjakan ibadat ini? Betapa ramai umat Islam yang berpeluang berada dalam bulan Ramadhan tetapi tidak berpeluang melakukan ibadat didalamnya.

Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat melakukan sedikit sebanyak ibadat dalam bulan Ramadhan kali ini walaupun tidak mencapai tahap yang dirancang. Sekurang-kurangnya solat tarawikh kali ini tidak perlu dilakukan secara bersaorangan, sentiasa berjemaah, majoritinya di masjid Nurul Yaqin , dua kali di masjid berhampiran pejabat dan sekali di masjid Sungai Petani, sekali di pejabat bersama rakan sepejabat. Saya bersyukur dapat mengurangkan aktiviti berbuka di luar seperti di hotel dan sebagainya.


Aktiviti sempena Ramadhan di masjid Nurul Yaqin tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kalau di tahun-tahun yang lalu sekitar 120 orang akan berbuka di masjid kami, kali ini purata 180 orang akan hadir. Beberapa kali angka tersebut melepasi 200 orang menyebabkan makanan tidak mencukupi. Ahli kariah yang datang bersahur pada 10 malam terakhir juga bertambah. Purata 70-80 orang akan bersahur di masjid. Solat tarawikh pun mendapat sambutan baik. Seperti lazimnya majoriti jemaah akan mengikut sunah Nabi dengan mengerjakan solat tarawikh sebanyak lapan rakaat. Tetapi jumlah yang bersolat 20 rakaat juga bertambah berbanding tahun-tahun lepas. Jumlah jemaah yang bersolat tarawikh di penghujung bulan Ramadhan juga meningkat. Alhamdullillah.


AJK masjid berasa amat bersyukur atas sambutan yang diberi oleh ahli kariah. Sumbangan dari ahli kariah untuk aktiviti Ramadhan mencecah RM73 ribu. Walaupun nampak banyak, ia sebenarnya cukup-cukup untuk menampong semua kos berkaitan. Majoritinya ialah untuk kos makanan berbuka.

Beberapa malam yang lepas telah diadakan majlis khatam al-Quran untuk bacaan oleh Imam dalam solat tarawikh dan juga bacaan oleh kumpulan ahli kariah Muslim. Seperti biasa kariah Muslimat telah khatam lebih awal.


Malam semalam juga diadakan majlis penyampaian wang saguhati kepada Remaja masjid yang telah membantu dalam penyediaan makanan untuk berbuka dan morey termasuk mengemas ruang legar masjid.


Alhamdullillah semuanya berjalan dengan lancar.

Dalam beberapa jam lagi Ramdhan 1431H akan meninggalkan kita. Semoga Allah swt menerima ibadat yang telah kita lakukan. Semoga kita dapat bertemu pula dengan Ramadhan 1432H, InsyaAllah.

No comments: