Tuesday, September 21, 2010

Diari Aidilfitri 1431H : Episod 4 - Warga Emas


Selain anak-anak, orang yang semesti kita raikan pada Hari Raya ialah orang-orang tua kita. Saya tidak lagi mempunyai ibu, ayah, ibu mertua atau pun ayah mertua. Tetapi saya merasa amat bersyukur kerana mempunyai ibu tiri dan ibu mertua tiri yang sangat mengambil berat tentang kami adik beradik. Walau pun perkataan ibu tiri sering kali membawa konotasi yang kurang menyenangkan, kami amat bertuah kerana mendapat ibu tiri yang langsung tidak seperti yang digambarkan oleh cerita-cerita lama.

Sebenarnya, entri kali ini bukan berkenaan ibu tiri tetapi tentang warga emas yang kami lawati pada hari raya yang lalu. Ini termasuk, ibu dan bapa saudara, kawan-kawan dan sebagainya. Setiap tahun akan berkuranglah golongan ini. Walaupun sebenarnya golongan warga emas akan bertambah, bilamana saya sendiri akan menjadi warga emas.

Satu-satunya insan yang berpangkat Datok dan Nenek yang saya masih ada ialah Tok Mat dan Neksu Temah. Neksu Temah ialah emak saudara kepada arwah ibu saya. Pasangan ini harus menjangkau 90 tahun umur mereka. Mereka tinggal berdua di rumah mereka yang tidak berapa jauh dari rumah kami di kampong. Alhamdullillah mereka masih boleh bergerak dengan sendiri walaupun dengan perlahan. Peringatan mereka juga masih baik, masih dapat bercerita tentang arwah ibu saya. Cuma pendengaran mereka agak kurang.

Beberapa ayah dan ibu saudara saya juga tidak berapa sihat pada kali ini. Kalau lah saya sudah tidak lagi bekerja, mungkin saya dapat menziarah mereka dengan lebih kerap, tetapi mungkin juga tidak. Saya melihat beberapa orang saudara saya yang telah bersara masih tidak berpeluang meluangkan masa untuk menziarah saudara mara.

Diantara yang sempat kami lawati, Busu Lijah dan suami Busu Jalil yang tidak berapa sihat (sering masuk hospital beberapa bulan kebelakangan ini), Pak Long Baharom dan Maklong, Pak Ngah Bujang yang memang tidak sihat kerana tidak lalu makan, Pak Ngah Amat dan Mak Ngah.

Beberapa kawan lama saya yang telah boleh dikategorikan sebagai warga emas juga sempat saya lawati seprti Hj Dollah, Capt. Mazlan dan Abang Lias Keramat.


Disebelah isteri saya pula, kami sempat melawat adik-adik arwah bapa mertua saya yang masih ada (Anjang dan Cik) dan juga isteri kepada sahabat baik arwah di Keramat.


Masih ramai lagi yang tidak sempat saya ziarahi. Apa yang saya bimbang ialah saya tidak diberi kesempatan oleh Allah swt untuk bertemu mereka di Hari Raya tahun hadapan.

No comments: