Wednesday, September 15, 2010

Diari Aidilfitri 1431H - Episod 2 di KL



Rumah pertama kami ziarah di KL ialah rumah arwah bapa mertua saya di Petaling Jaya. Emak mertua (tiri) berasal dari Terengganu dan memang terkenal dengan nasi dagangnya. Biasanya beliau akan membuat nasi dagang pada hari raya pertama. Tetapi memandangkan keluarga saya dan keluarga kakak ipar dari Serkam cuma tiba pada hari raya ketiga beliau telah membuat nasi dagang sekali lagi pada hari raya ketiga, khas untuk kami. Saya sampai pada pukul 11:00 pagi, memang sesuai untuk makan tengahari dengan nasi dagang.

Selepas itu kami terus ke Shah Alam, ke rumah kakak ipar saya yang sulung. Oleh kerana dah makan nasi dagang dengan banyak, saya cuma minum air di Shah Alam sebelum kami ke rumah adik isteri saya di Bukit Jelutong. Disini kami sempat bertemu dengan beberapa adik beradik isteri saya yang lain. Disini pun saya tidak makan banyak walau pun antara hidangan ialah beriyani kambing.



Disebelah petang kami ke Cheras, melawat dua emak saudara isteri saya (disebelah ayah beliau) yang masih hidup.Sebelum kembali kerumah kami menziarah sepupu isteri saya yang juga di Cheras.

Pada sebelah malam kami kerumah seorang lagi sepupu beliau, kali ini di Shah Alam. Saya seronok bertemu suami kepada sepupu isteri saya yang ini kerana senang bercerita dengan beliau yang pernah bekerja dengan Kontena Nasional pada satu masa dulu.


Pada keesokan harinya kami ke Banting. Selalunya kami akan melawat rumah emak saudara isteri saya berhampiran pekan Banting. Pada tahun ini, rumah tersebut telah dirobohkan untuk pembangunan yang masih belum terlaksana. Terasa amat terkilan dengan keadaan rumah tersebut. Cuma ada dua rumah di Banting kini, rumah Mak Uda, yang kini di huni oleh anak beliau dan rumah seorang sepupu di Kancong. Cerita di kedua-dua rumah tersebut berkisar kepada pembunuhan kejam Datuk Sosilawati yang mana saspek utama adalah peguam dari Banting.

Kami makan tengahari di pekan Banting.

Sekembali dari Banting kami singgah di rumah Abang Long (sepupu paling tua) di Kg Kuantan Kelang. Sebelum balik saya sempat menziarah sahabat lama saya (yang pernah kerja bersama saya di MISC Coastal) bila saya mula bekerja di awal tahun 80an dulu. HJ. Abdullah Md. Yatim, berasal dari Melaka dan agak rapat dengan saya semasa bekerja dulu. Beliau tidak dapat berjalan berpunca dari "slip disc" tetapi beliau kelihatan ceria dan redho atas ketentuan Allah swt.

Keesokan harinya kami ke Kelang sekali lagi, melawat seorang supupu isteri saya yang akan pergi menunaikan ibadat haji tahun ini. Beliau yang telah kematian suami beberapa tahun lalu nampaknya telah dapat meneruskan hidup dengan baik setelah anak-anak mula bekerja.

Selepas itu kami menziarah seorang lagi sahabat saya dari zaman saya di MISC, Capt. Mazlan. Beliau yang berasal dari Kuala Pilah beristerikan Tariyah yang berasal dari Pulau Lumut, juga pernah bekerja dengan MISC. Capt. Mazlan diserang angin ahmar beberapa tahun lalu dan masih belum dapat berjalan walaupun telah puas berikhtiar mencari rawatan dengan berbagai cara.

Selepas solat zohor kami kembali kerumah kerana kakak ipar saya ingin singgah dirumah.

No comments: