Monday, September 13, 2010

Diari Aidilfitri 1431 H - Episod 1



1 Syawal 1431 H kali ini jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010 Masehi. Kami sekeluarga berangkat pulang ke kampong pada malam hari raya, sekitar pukul 10:00 malam, setelah singgah dirumah arwah bapa mertua di Petaling Jaya. Kami selamat sampai di kampong pada hampir pukul 12:00 tengah malam. Alhamdullillah, perjalanan lancar walaupun kenderaan di jalan banyak. Oleh sebab lambat sampai, saya tidak sempat bertemu dengan rakan-rakan sekolah rendah dan menengah seperti tahun-tahun lalu.

Solat sunat Aidilfitri dilakukan di perkarangan Kompleks PAS Jasin atau lebih dikenali sebagai HAMAS. Cuaca redup menambah rasa sayu keadaan dipagi syawal. Ketika solat bermula hujan rintik mulai turun tetapi tidak menjadi lebat. Khutbah disampaikan oleh Imam pada hari tersebut, Ust. Faizol (rasanya) yang, seperti biasa, cukup berkesan. Walaupun ia menjurus kearah perjuangan kepartian ia juga bersikap universal yang patutnya mesti diakui oleh seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

Oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan kami tidak menunggu lama setelah selesai solat dan terus menziarah pusara arwah Ayah, Ibu, Ahmadon dan Makcik Jamilah (yang kembali kerahmah Allah pada 17 Julai 2010).

Sekembali kerumah, upacara bermaafan dimulakan. Pada tahun ini terasa kekurangan ahli keluarga kami. Hafsah sekeluarga beraya di Kedah, Hamzah sekeluarga belum tiba dan Habibah sekeluarga masih di rumah mertua. Oleh kerana ketiga-ketiga keluarga ini menyumbang ahli yang ramai (setiap satu lebih 10 orang ahli) maka keadaan terasa lengang. Azizah dan Junaidi pun menyambut raya pertama di Bukit Badong.



Oleh kerana hari raya pertama jatuh pada hari Jumaat, kami tidak beraya di waktu pagi untuk persediaan solat Jumaat. Saya sekeluarga pergi menziarah rumah arwah Makcik Jamilah. Ketiadaan makcik memang dirasai walau pun tidak seorang menyebut perkara tersebut ketika kami disana.

Selesai solat Jumaat, kami mulai menziarah rumah-rumah "wajib", Pak Ali, Busu Lijah, Tok Busu Temah dan Paklong Baharom. Itu saja yang kami dapat sebelum hari malam. Pada sebelah malam saya melawat rumah Mak Nunggal. Banyak yang kami bercerita tentang kisah lama. Saya teringin duduk lama dengan beliau untuk bertanya sejarah keluarga saya dari beliau. Tetapi beliau pun semacam telah mula lupa banyak perkara.


Sebelum tidor, isteri saya mengadu sakit perut. Kami tidak ada membawa sebarang ubat pun. Pada pukul 3:00 pagi isteri saya membangunkan saya kerana tidak tahan sakit perut. Saya terus ke Jasin untuk mencari klinik yang buka 24 jam tetapi tidak berjumpa. Akhirnya kami pergi ke Hospital Jasin. Ramai juga orang yang datang mendapat rawatan pada pagi tersebut. Setelah diperiksa oleh Pembantu Perubatan (doktor cuma datang setelah kami mendapat ubat), kami pun balik.

Pagi esoknya isteri saya terus mengadu sakit perut. Saya dan keluarga telah ke Serkam untuk kerumah kakak ipar untuk mendapat pendapat dari beliau. Rupanya kakak ipar saya pun mengalami sakit perut. Jadi saya telah membawa kedua-dua mereka ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan setalah kakak ipar saya memastikan rakan beliau bertugas di hospital ketika itu. Setelah mendapat ubat yang sesuai barulah sakit isteri saya berkurangan. Kami semuanya berehat di Serkam. Pada sebelah petang saya menziarah Pak Ngah di Pernu sebelum kembali ke Jasin.

Kami bertolak balik ke Kuala Lumpur pada pagi hari Ahad (hari raya ketiga). Tidak banyak rumah yang sempat kami ziarahi pada tahun ini. Saya juga tidak sempat bertemu dengan kawan-kawan sekolah rendah seperti yang telah saya rancang. Walau apa pun saya bersyukur kerana dapat bertemu dengan adik beradik dan juga bapa dan emak saudara yang semakin berumur.

1 comment:

siti khadijah said...

Along, setiap tahun Hari Raya, kita menziarahi ayah saudara / emak saudara yang semakin uzur, melihat dan mendengar cerita-cerita mereka menjadi iktibar kepada kita yang akan juga melalui proses tua dan uzur seperti mereka.